Thursday 29 March 2012

Hidayah Allah Itu Sangat Berharga

Alhamdulillah, itulah yang diperkatakan tatkala membaca pelbagai berita sejak akhir-akhir ini diuar-uarkan tentang artis-artis yang sudah berhijrah ke jalan diredhai Allah. Sesungguh kuasa Allah itu sangat luas dan meliputi sekalian alam. Dia sahaja yang mampu memberikan hidayah kepada manusia dan mampu juga menarik hidayah dari manusia. Sebagaimana kata-kata Allah :


"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."  [Al-An'aam , 125]


Kita lihat sahaja kini, ramai artis-artis yang sudah berhijrah seperti Sham kamikaze, Zuar XPDC, Bob Lokman, malah saban hari makin ramai. Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah semestinya cemburu akan hidayah yang Allah berikan kepada mereka ini. Adakah kita hanya duduk mencemburui atau bertindak untuk mengejar Hidayah Allah. Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).

Sesuatu bangunan itu tidak akan terbina jika tiada orang yang membinanya, Sesuatu perkara itu tidak akan terjadi jika tiada orang yang melakukannya. Oleh itu, kita sebagai hambanya sentiasalah mencari dan sentiasa muhasabah diri mengapa dan kenapa diri kita jauh dan tidak mendapat hidayah Allah. Hidayah Allah itu tersangat berharga kerana setiap perlakuan seseorang selepas itu akan bertukar menjadi dari kekufuran kepada beriman. Kita lihat sahaja sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dahulu, mereka mendapat hidayah Allah sehingga sanggup menggadaikan semua hartanya hanya kerana Allah.
Lihat sahaja zaman penyebaran islam di mekah oleh Rasulullah s.a.w, banyak mukjizat kekuasaan Allah yang ditunjukkan oleh Beliau, akan tetapi tidak dapat juga hidayah daripada Allah antara nya Abu lahab dab Abu Jahal. Pelbagai mukjizat mereka diperlihatkan akan tetapi disebabkan hati mereka yang sentiasa menolak, itu yang menjadikan mereka tidak mendapat hidayah Allah s.w.t.
Kita mungkin sering berniat untuk berubah dan menjadi lebih baik, tetapi tindak tanduk perlakuan kita?.. adakah sehaluan dengan perubahan yang kita hendak lakukan?. Adakah dengan berkata kita akan berubah?. Allah mementingkan hidayah itu kerana Ianya sesuatu yang sangat berharga dan kita sebagai hambanya perlulah sentiasa berusaha dan tidak jemu untuk mendekat diri kepadaNya kerana usaha kita lakukan akan mendatangkan hasil.
Firman Allah SWT dalam surah Yunus, 10:57:
Hai manusia, Sesungguhnya Telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Terdapat pelbagai alternatif untuk berubah memandangkan zaman yang serba canggih kini, hanya mahu ataupun tidak. Berdasarkan ayat diatas, Allah menyatakan Al-Quran itu sendiri sebagai nadi untuk penyembuh penyakit-penyakit yang berada didalam dada dan petunjuk
Muhasabah diri kita adakah kita sentiasa melakukan perkara yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah lalu mendapat hidayah daripadaNya atau kita bersahaja dalam memikirkan hal ini. Nauzubillah, sesungguhnya kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang disebut diatas dimana pelbagai mukjizat dan pengajaran akan tetapi tidak mendapat hidayahNya. Sesungguhnya hidayah Allah itu akan mudah diterima jika tiada sesuatu yang menghalang dari ia sendiri hadir dalam hati kita sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi:
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
Lihatlah diri kita, ada dikalangan kita sudah berhijrah mendapat hidayah Allah yang sangat berharga itu, ada yang masih didalam kegelapan oleh tindakan mereka sendiri. Bagaimana kita dengan Allah?, apakah hubungan kita dengan Allah?, semoga kita semua mendapat tempat disisi Allah dan tergolong dalam golongan Hambanya yang mendapat hidayah dan petunjukNya.
Sumber :  http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/4408--hidayah-allah-itu-sangat-berharga.html






Masihkah Ada Hari Esok Bagimu?


Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.
Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.
Selawat dan salam ke atas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kehidupan dan kematian itu suatu lumrah hidup yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Semua makhluk yang bernyawa baik manusia, haiwan, tumbuhan, jin, Syaitan bahkan malaikat sekalipun pasti akan merasai mati.
Tiada makhluk yang kekal, hanya Allah s.w.t bersifat baqa'. Namun tidak siapa yang mengetahui bila saatnya ajal yang datang di muka pintu.
Hakikat kematian seringkali dilupakan oleh kebanyakan manusia disebabkan oleh nikmat dan kegembiraan hidup dunia yang fana ini. Hanya apabila maut menghampiri, barulah manusia akan sedar akan kebenaran yang sering dilupakan iaitu kematian.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Saiyidina Ali r.a bahawa manusia ini semuanya dalam keadaan tidur, mereka akan sedar ketika malaikat maut datang mencabut nyawanya. Ramai di antara kita lupa akan janji Allah s.w.t dalam firman-Nya :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati" (al-Imran : 185)
Janji Allah itu pasti. Tidak pernah Dia lengah terhadap apa yang dijanjikan-Nya. Sekalipun janji al-Malik itu benar, namun sedikit sekali yang mengingati dan menghayati peringatan tersebut.
Tidak kira siapa pun kita, tua atau muda, raja atau rakyat jelata, kecil atau besar tubuh kita, dan di mana kita berada, ajal akan datang memanggil apabila sampai saatnya. Firman Allah s.w.t:
"Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (apabila sampainya ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh" (an-Nisa: 78)
Wahai saudaraku, maut tidak pernah melupakan kita walau sesaat. Maut tidak pernah jauh dari kita bahkan semakin dekat, dan mendekat dari hari ke hari. 
Sekalipun ia hampir dengan kita, tidak pula ia memberi amaran dan peringatan bahawa nyawa berada di hujung usia.
Tiada siapa yang akan tahu bila ajalnya tiba. Ada yang menemui ajal ketika sedang sujud kepada Allah, dan ada pula ketika sedang bermaksiat dan menderhakai Allah.
Kerana itulah kita perlu berjaga-jaga setiap masa. Hiasilah diri dan minda agar mudah ingat kepada kematian supaya kita tidak lupa destinasi utama yang ingin dituju kelak.
Pernah diceritakan di Mekah, terdapat seorang ulama' yang sentiasa menutup setiap percakapannya dengan kalimah "Allah".
Jika diberi salam kepadanya, beliau akan menjawab "waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh- Allah". Apa khabar?- Allah, Selamat Petang- Allah. Beliau menutup semua percakapannya dengan menyebut nama Allah s.w.t. Maha suci Allah, beliau berkata sedemikian kerana bimbang beliau mati tanpa menyebut nama Allah kerana beliau tidak tahu bila ajal akan menjemputnya.
Begitulah mereka yang sentiasa berjaga-jaga terhadap kematian, tidak pernah lupa padanya.
Ingatlah wahai diriku dan semua saudaraku, dunia ini adalah fana. Jangan terlalu mengejar keduniaan hingga lupa kepada tempat kita kembali nanti.
Mungkin ketika ini kita merasa masih terlalu awal untuk memikirkan soal kematian, masih muda remaja dan masih belum puas berseronok di muka bumi ini. Saban hari usia kita semakin meningkat sebaliknya hayat semakin berkurang. Janji Allah itu benar sekalipun kita cuba untuk mendustakannya. Firman Allah s.w.t :
"Katakanlah (Wahai Muhammad), Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah,yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan" (al-Jumu'ah: 08)
Semoga taufik dan hidayah Allah s.w.t sentiasa bersama kita semua agar kita tidak lupa tabir kematian yang menanti setiap waktu, Insya-Allah. Wallahu'alam...~ 
sumber : Iluvislam

Monday 26 March 2012

Solat Itu Mencegah Kemungkaran


"Inna sola tatanha anil fahsya iwal munkar"

Maksudnya : Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
(Surah Al-Ankabut 29:45)

     Saya amat tertarik dengan firman Allah SWT seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu solat mencegah kemungkaran. Tetapi masih ada juga sahabat saya yang menyatakan bahawa mengapa seseorang yang telah menjaga solatnya sehari semalam tetapi masih tidak mampu untuk menghilangkan kemungkaran dalam dirinya, kehidupannya sama sahaja seperti orang yang tidak melakukan solat bahkan orang yang tidak solat itu lebih baik dari mereka yang solat. Persoalan yang berlegar-legar di fikiran saya ialah, adakah sempurna solat yang dilakukan itu? Adakah sempurna wudhuknya sebelum solat? Adakah Allah menerima solat yang dilakukannya?

     Solat sebenarnya bukan sahaja perlakuan yang hanya dilakukan dengan gerak badan, malah ia harus dilakukan dengan hati. Barulah kita dapat merasa yang Allah SWT itu dekat dengan kita bahkan terasa seperti sedang mendengar bacaan kita sewaktu solat.  Kemanisan solat itu hanya dapat dirasai apabila kita benar-benar khusyuk dan ikhlas melakukannya kerana Allah dan kita menyerahkan diri kita hanya kepada-Nya.

     Banyak perkara yang menyebabkan solat itu tidak mampu untuk mencegah kemungkaran dalam diri kita, jika kita tidak menyedari akan hal ini maka sia-sia sahajalah solat yang kita lakukan tanpa mendapat pahala dan apa-apa manfaat kepada diri kita. Antara penyebab utama adalah kerana kehidupan seharian kita di dunia ini terlalu banyak bergelumang dengan dosa tanpa kita sedari, dan perkara-perkara yang kita anggap remeh-temeh itulah yang sebenarnya menghalang diri kita daripada merasai kemanisan solat.

     'Aurat', adakah kita menjaga aurat dengan sempurna dalam kehidupan seharian kita tidak kiralah lelaki atau perempuan? Bagi kaum lelaki sudah menjadi kebiasaan bagi mereka berseluar pendek paras atas lutut dan hingga menampakkan pusat terutama kepada mereka yang tinggal di asrama. Perkara seperti ini dianggap biasa dan tidak menjadi halangan untuk mereka keluar masuk bilik sesuka hati tanpa menutup aurat mereka dengan sempurna.

     Bagi kaum perempuan pula, paling jelas sekali menampakkan aurat mereka kerana hanya muka dan tapak tangan sahaja yang tidak menjadi aurat mereka. Perempuan yang bertudung juga sebenarnya masih ramai yang tidak menutup aurat dengan sempurna kerana mereka hanya menganggap dengan menutup rambut sudah memadai untuk menutup aurat. Malahan ramai dalam kalangan mereka yang tidak memakai stokin, handsock, memakai tudung yang tidak mengikut syariat seperti menampakkan dada, memakai pakaian yang ketat dan banyak lagi. Perbuatan seperti ini layak dianalogikan sebagai 'membalut', bukan menutup aurat seperti yang dituntut syariat.

      Orang yang tidak menjaga aurat dengan sempurna, Allah SWT tidak akan menerima solat mereka, jadi berubahlah dengan menyedari akan hakikat ini. Allah masih sayangkan kita dengan memberi lagi kehidupan kepada kita hingga saat ini supaya kita mempunyai kesempatan masa untuk bertaubat kepada-Nya, manfaatkanlah masa yang ada ini untuk mengingati Allah sebelum malaikat Izrail datang menjemput. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian yang umur kita semakin pendek dan kita semakin menghampiri mati. Dengan masa yang masih ada persiapkanlah diri kita dengan amal ibadat supaya dapat menjadi bekalan kepada kita di akhirat nanti. Wallahu'alam....~

Friday 16 March 2012

Sifat Tawaduk Dapat Menghilangkan Sifat Sombong dan Takbur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sifat tawaduk adalah satu sifat yang mulia, seseorang muslim yang mempunyai sifat ini akan mendapat darjat yang tinggi disisi Allah SWT. Berlawanan dari sifat tawaduk adalah sifat sombong dan takbur.

Seorang muslim yang berakhlak mulia tidak sanggup bersifat takbur serta membesarkan diri supaya di pandang tinggi oleh orang lain.Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat masa kini masih meletakkan nilai pangkat, kecantikan, harta kekayaan, keturunan sebagai asas untuk meletakkan seseorang itu dipandang mulia atau sebaliknya.

Firman Allah SWT bermaksud :
"Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa."(Surah al-Qasas ayat 83)

Peringatan Allah ini mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik bagi orang yang sombong dan takbur di akhirat kelak melainkan hamba-Nya yang bertakwa sahaja.Orang sombong tidak di sukai Allah.

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW  kita dapati baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh. Bahkan sifat pemaaf baginda SAW  sepatutnya menjadi perangsang untuk membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim sesama saudara muslim.

Persengkitaan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini adalah berpunca dari sikap umat Islam tidak mahu kembali kepada ajaran Islam sebenarnya dan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW.Di dalam jiwa masih menebal sifat takbur dan sombong, meremehkan orang lain untuk meninggikan diri.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga orang yang dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. Maka seorang lelaki bertanya :Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok."
Nabi SAW menjawab yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang sombong suka menghina orang lain ketika di dunia ini, di akhirat nanti mereka pula akan di hina oleh Allah , Allah tidak akan memandang dan berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehidupan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh di rampas oleh sesiapa pun seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Perkasa adalah kain sarung-Ku (Allah) dan sombong ialah pakaian-Ku, barangsiapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyiksanya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah bertapak dalam diri. Kerana itulah orang yang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sifat takbur dan riak.

Sahabat yang dimuliakan,
Tawaduk biasanya di terjemahkan dengan erti merendah diri. Beberapa pandangan ulama berkaitan sifat tawaduk ialah; 
1. Bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan takabbur (sombong). 
2. Tawaduk adalah satu sifat orang mukmin yang termasuk siddiq.Orang yang patuh dan taat menerima yang benar serta menerima kebenaran itu walau dari sesiapa pun.Tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi dari orang lain.
3. Orang yang yang tidak pernah membusungkan dada, orang yang bersifat lemah lembut dan hormat pada sesiapa pun, meskipun orang yang miskin dan tidak berpangkat. 
4. Sifat yang tegas, hanya 'menerima yang hak dan menolak yang batil' Satu tekad kesungguhan dalam mencapai yang benar."
Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:
يقول الله : من تواضع لي هكذا - وجعل باطن كفه إلى الأرض وأدناها إلى الأرض - رفعته هكذا - وجعل باطن كفه إلى السماء ورفعها نحو السماء
Maksudnya;"Barangsiapa tawaduk (merendah diri) kerana Aku (Allah) seperti begini: Ia itu Rasulullah   menunjukkan dengan menelangkupkan tangannya ke bumi, nescaya Aku angkat seperti ini (ia itu Rasulullah membalikkan tangannya ke arah langit)."
(Abu Bazar, Abu Ya'la dan Thabrani)



Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengikut sunnah Rasulullah SAW, jalinilah dan perkukuhkanlah hubungan persaudaraan Islam sesama kita, buanglah sifat kebencian dan permusuhan kerana permusuhan itu adalah amalan syaitan yang di benci oleh Allah SWT.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang merasa tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lain."

Monday 12 March 2012

Proses Pengabulan Doa

Terdapat 3 cara ALLAH SWT mengabulkan doa kita. Tujuan dijelaskan proses ini adalah supaya hilang keraguan kita terhadap janji ALLAH SWT..




1. kita doa, ALLAH SWT makbul
Ini merupakan kaedah normal. Apabila kita meminta sesuatu ALLAH SWT, setelah ALLAH SWT menelitinya sesuai dan baik untuk kita, ALLAH SWT akan berikan kepada kita tanpa syarat dan 'kos tersembunyi'.


2. kita doa lain, ALLAH SWT beri yang lain
Apakah ALLAH SWT mendengar  salah dengar doa kita? Ataupun kita tersilap sebut perkataan? Tidak, sebenarnya setelah diteliti permintaan kita itu tidak sesuai dengan kita. Misalnya kita berdoa untuk menjadi kaya, mungkin andai kita menjadi kaya, kita akan menjadi riak dan lupa pada ALLAH SWT lalu melakukan dosa-dosa besar. Jadi, ALLAH SWT menggantikan permintaan kita itu dengan sesuatu yang lain. Misalnya ALLAH SWT tidak beri kita kaya tetapi ALLAH SWT beri kita kelapangan hidup. Maksudnya tidak di belenggu dengan hutang yang bertimbun atau tidak ditimpa kemalangan yang memerlukan kita mengeluarkan belanja yang besar dan sebagainya.


3. kita doa, ALLAH SWT tidak makbulkan
Sebnarnya bukan ALLAH SWT tidak makbulkan, tetapi ALLAH tukar doa itu untuk menjadi ganjaran yang cukup bernilai di akhirat kelak kerana amalan kita di dunia ini belum melayakkan kita untuk hidup senang di akhirat nanti. Bahkan ada satu riwayat menyebut bahawa seandainya manusia tahu betapa besarnya ganjaran doa yang dimakbulkan di akhirat, pasti mereka mengehendaki semua doa mereka tidak dimakbulkan di dunia.

Sunday 11 March 2012

Titian Sirat Di Padang Mahsyar


Orang Bertaqwa Mendapat Pertolongan Allah Ketika Titian Sirat

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam) (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu." (Surah Mariam ayat 71)

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.

Orang Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal solih yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya.

Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang mengepalai umat lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dan direntangkan Sirat di antara dua jurang Neraka Jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya bersama umatku yang lulus.”

Tahap kelajuan seseorang Mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, semakin laju menuju titian itu.

Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abi Said Al-Khudriy r.a berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa ianya (As-Sirat) lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa “Sesungguhnya Allah menciptakan Sirat yang berada diatas Neraka, iaitu Jambatan ditengah-tengah Neraka Jahanam yang sangat licin dan menggelincirkan. Jambatan ini mempunyai tujuh sekatan, dan setiap sekatan jaraknya sama dengan perjalanan 3000 tahun. Dalam 3000 tahun itu, 1000 tahun merupakan tanjakan yang tinggi, 1000 tahun merupakan dataran, dan 1000 tahun merupakan lereng yang curam. Ia lebih kecil dari rambut, lebih tajam dari pedang dan lebih gelap berbanding malam yang pekat. Setiap sekatan mempunyai 7 cabang, dan setiap cabang bentuknya seperi panah yang hujungnya tajam. Maka, duduklah setiap hamba diatas setiap sekatan tersebut dan ditanya tentang perintah-perintah Allah s.w.t”


Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa “Sesungguhnya Allah menciptakan Sirat yang berada diatas Neraka, iaitu Jambatan ditengah-tengah Neraka Jahanam yang sangat licin dan menggelincirkan. Jambatan ini mempunyai tujuh sekatan, dan setiap sekatan jaraknya sama dengan perjalanan 3000 tahun. Dalam 3000 tahun itu, 1000 tahun merupakan tanjakan yang tinggi, 1000 tahun merupakan dataran, dan 1000 tahun merupakan lereng yang curam. Ia lebih kecil dari rambut, lebih tajam dari pedang dan lebih gelap berbanding malam yang pekat. Setiap sekatan mempunyai 7 cabang, dan setiap cabang bentuknya seperi panah yang hujungnya tajam. Maka, duduklah setiap hamba diatas setiap sekatan tersebut dan ditanya tentang perintah-perintah Allah s.w.t”

Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :

Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun iman yang lain.

Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah ini terdapat syirik kepada Allah s.w.t. dan telah rosak aqidahnya maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Firman Allah s.w.t yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)

Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.

Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )

Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadhan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Jika puasa Ramadhannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.

Sekatan Keempat : Mengenai zakat.
Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke sekatan kelima.

Terdapat hadis Nabi s.a.w yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat. Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)

Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.


Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

Sekatan Keenam : Mengenai wudhu' dan mandi hadas besar.


Jika diperiksa wudhu'nya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wudhu'nya tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.

Sekatan Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang dilakukan kepada orang lain).

Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.

Manusia yang dizalimi akan menuntut haknya kepada Allah s.w.t maka seseorang yang pernah melakukan kezaliman tidak akan mudah melepasi sekatan ketujuh ini walaupun ia terlepas daripada sekatan pertama hingga keenam.

Cepat atau lambat meniti sirat juga bergantung kepada cepat atau lambatnya seseorang itu berlumba untuk mencapai keredhaan daripada Allah s.w.t.
.



Semasa melintasi Titian Sirat (Siratul Mustaqim), terdapat pelbagai jenis manusia. Manusia pertama menjejakkan kakinya di Sirath adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda akan memimpin kumpulan-kumpulan umatnya menjadi 10 bahagian untuk melintasi Jambatan tersebut.

* Kumpulan Pertama – melintasi bagai cahaya kilat memancar
* Kumpulan Kedua – melintasi bagai angin yang kencang
* Kumpulan Ketiga – melintasi bagai kuda yang baik
* Kumpulan Keempat – melintasi bagai burung yang pantas
* Kumpulan Kelima – melintasi dalam keadaan berlari
* Kumpulan Keenam – melintasi dalam keadaan berjalan
* Kumpulan Ketujuh – berdiri dan duduk
* Kumpulan Kelapan – menarik muka mereka dengan rantai
* Kumpulan Kesembilan dan kesepuluh – tertinggal diatas Sirat dan tidak diizinkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa mereka.

Keadaan-keadaan semasa kumpulan melintasi jambatan Sirath:

Kumpulan Ketujuh – Mereka berdiri dan duduk akibat kepenatan dan dosa-dosa terpikul dibelakang mereka. Nabi Muhammad s.a.w. berhenti diatas Sirat. Setiap kali, Nabi Muhammad s.a.w. melihat seorang dari umatnya bergelayut di atas Sirat, kemudian ia akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali.

Kumpulan Kelapan – mereka menarik muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru; “Wahai Muhammad!”, dan Nabi Muhammad s.a.w. akan berkata; “Tuhan! Selamatkanlah mereka! Tuhan! Selamatkanlah mereka!”

Sahabat yang dikasihi,

Berdasarkan hadis di atas dan kisah yang jelas mengenai Titian Sirat sedarlah kita bahawa setiap daripada kita tidak akan terlepas melaluinya sebelum memasuki Syurga Allah s.w.t. Perlulah kita muhasabah kita akan berada dikumpulan mana?

Sekiranya kita termasuk di dalam kumpulan pertama hingga keenam akan terselamat daripada tergelincir dan terhumban ke dalam Neraka Jahanam, jika kita termasuk dalam kumpulan ketujuh dan kelapan akan selamat sampai juga dengan pertolongan Nabi s.a.w tetapi dalam keadaan yang amat azab.

Minta dijauhilah masuk ke dalam kumpulan kesembilan dan kesepuluh kerana kumpulan ini akan tertinggal di pertengahan jalan dan tunggu masa untuk tergelincir ke dalam Neraka Jahanam, na'uzubillahiminzalik.

Marilah kita pertingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan kebajikan dan tinggalkan semua dosa, maksiat dan kemugkaran kepada Allah s.w.t. untuk kita dapat menyelamatkan diri kita nanti di hari akhirat. Alangkah ruginya kita bila bertemu Allah s.w.t nanti tidak ada amalan yang dapat membantu dan menyelamatkan kita dengan siksaan yang dahsyat iaitu siksaan Neraka Jahanam.

Hanya jiwa yang beriman dan bertaqwa sahaja akan terselamat daripada azab yang pedih ketika meniti Sirat dan terselamat daripada azab Neraka Jahanam.

Di akhir zaman : Islam hanya tinggal nama


ALANGKAH bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah.


Zaman baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah SWT sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah SWT.

Inilah generasi yang telah mencipta sejarah kerana membantu baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.

Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar-luaskan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.


Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti para sahabat?
Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama para sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar, Othman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya, tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi para sahabat dalam mendepani segenap isu agama.

Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.

Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.

Inilah yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana baginda sentiasa menerima ilham/wahyu daripada Allah SWT selaku Pencipta kita, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya, benarlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Daripada Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali." (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.

1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al-Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama su’ yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama su’.

1. Islam hanya tinggal namanya sahaja
Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat. Sembahyang mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.

Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang merubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas. Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana sahabat nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab: "Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya". (Masnad ar-Rabi’)

2. Al-Quran hanya tinggal tulisannya
Dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan al-Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan dunia secara berlebihan. Tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal akidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di dalamnya.

Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, al-Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa al-Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.

3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah kebenaran kenyataan baginda Rasulullah s.a.w. bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripadapengunjungnya.

Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, kadang-kadang kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.

4. Lahirnya ulama su’ yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap tentang Islam
Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah al-‘Araf.

Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.

5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama su’
Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama su’ mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup mereka lagi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...