Saturday, 20 October 2012

Bercerita Tentang Jodoh


Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.
"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"
"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.
"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.
"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.
"Habis mengapa putus?"
"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.
Isteri Amanah
"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"
"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."
Cantik Itu Relatif dan Subjektif
"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"
"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.
"Maksud abang?"
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."
"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."
Wasilah Memilih Jodoh
"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.
"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."
"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"
'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.
"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."
Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
"Tak mengapa. Kalau begitu, guna cara pertama, jadilah orang yang baik."
"Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."
Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"
"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.
"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"
"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.
Jodoh Urusan Allah
"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"
"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."
"Hikmah untuk kita?"
"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: "Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"

MARATIB AMAL


Meneliti Seerah Rasulullah saw, kita jelas mendapati jalan perjuangan dan fasa-fasa yang dilalui oleh Baginda saw dan para Sahabat ra seperti yang diatur oleh Allah swt. Sebaik turun dari Gua Hirak pada 610M, Nabi saw mula membentuk (1) Peribadi-peribadi Islam yang bakal mendokong Dakwah Islam dan teguh melalui jalan panjang hingga mencapai matlamatnya.
Setiap sahabat pula mendidik keluarga masing-masing hingga menjadi (2) Keluarga Islam sejati lagi mithali. Kesemua isteri dan anak-anak Nabi saw seperti Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah mendokong Risalah dan melalui Jalan yang dilalui Baginda saw. Begitu juga Abu Bakar As-Siddiq didokong oleh isteri dan anak-anaknya Abdullah, Abdur Rahman, Aisyah, Asmak dan lain-lain. Tumbuhnya keluarga-keluarga Islam ini mewarnai dan mencorak suasana dan didikan Islam di sekitar, maka lahirlah bibit sebuah (3) Masyarakat Islam di Mekah sebelum mereka diperintah oleh Allah dan RasulNya saw untuk berhijrah ke Madinah pada tahun 622M membentuk sebuah (4) Kerajaan Islam dibawah pimpinan Rasulullah saw sendiri.
Di Madinah, turun ayat-ayat Al-Quran mengenai Perundangan Islam sedikit demi sedikit menyentuh dan mengatur dari kehidupan ibadah dan sosial kepada hal ehwal berkait dengan kenegaraan dan Jihad (kekuatan dan kedaulatan) sehinggalah sempurna ciri-ciri sebuah (5) Negara Islam di Madinah. Selepas Pembukaan Mekah pada tahun 630M, kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Arab datang berbondong-bondong ke Madinah mengiklankan penggabungan ketua negara, kerajaan dan rakyat masing-masing di bawah Rasulullah saw dan berterusan ke zaman Abu Bakar As-Siddiq ra membentuk (6) Khilafah Islam. Pada masa itu, kuasa besar masih di tangan Kerajaan Rum dan Kerajaan Parsi. Selepas Rasulullah saw wafat (632M), Islam mengalahkan kedua-dua Kuasa Besar tersebut di zaman Umar Al-Khattab ra. lalu Islam ditabal (7) Memimpin Alam Sejagat dan terus membimbingnya dengan Sistem Islam ke arah mendapatkan Syurga dan keredhaan Allah swt.
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam dan dunia), ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan) aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran;31). Kepada mereka yang mencintai Allah dan berazam menuju kepadanya Seerah RasulNya itulah jalan menuju kepadaNya. Berusaha dan beramallah melalui Jalan dan fasa-fasa di bawah :
TAJUK-TAJUK RUKUN AMAL 7
1. Peribadi Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khilafah Islam
7. Memimpin Alam

Wednesday, 10 October 2012

Doa ringkas selepas solat


Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya. 

Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. 

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil. 

Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. 

Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia. 

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka. 

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji itu tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.


Syafaat Nabi dan Al-Quran



Assalamualaikum pembaca yang dikasihi sekalian,
Di sini saya ingin berkongsi beberapa hadis berkaitan syafaat. Sama-sama kita hayati!

Pertama : Jauhi Pertengkaran, Dusta dan Perbaiki Akhlak

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: 

“Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”(Hadis Riwayat Abu Daud)
Huraian

Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.

Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.

Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

Kedua : Banyakkan Berselawat Kepada Rasulullah SAW

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." (Hadis Riwayat Ibn Mas'ud r.a)
"Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya." (Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)
Syafaat Nabi di akhirat nanti ada 5 jenis
  1. Syafaat Nabi untuk membebaskan ummat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.

  2. Syafaat Nabi untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.

  3. Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.

  4. Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, dari azab neraka.

  5. Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.
Ketiga : Bacalah Al-Quran dan Fahami Maksudnya

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir)." (Hadis Riwayat Muslim)
Huraian

Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : ”Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar. 

Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al-Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

"Ya Allah! bantulah kami dalam memperbanyakkan selawat kepada kekasihMu SAW dan permudahkan bagi kami untuk membaca kalamMu yang suci siang dan malam. Semoga dengan rahmatMu kami tergolong dikalangan orang-orang yang beroleh syafaat" Amin..
Wallahua'lam..

Tuesday, 9 October 2012

Hadis-hadis berkenaan solat



1. Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 darjat." (HR Bukhari dan Muslim)

2. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat berjemaah kemudian duduk berzikir hingga terbit matahari kemudian solat 2 rakaat (sunat dhuha) maka ia akan mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna." (HR Tirmidzi)
3. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berjalan untuk solat fardhu maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan jika ia berjalan untuk solat sunat maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan umrah sunat." (HR At-Tabrani)
4. Rasulullah SAW bersabda: "2 rakaat solat sunat fajar itu pahalanya lebih baik daripada dunia seisinya." (HR Muslim & Tirmidzi)
5. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka." (HR At-Tabrani)
6. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu." (HR At-Tabrani)
7. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelumdan selepas zohor sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka." (HR Abu Daud & Tirmidzi)
8. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka keluarlah dosa dari tubuhnya sehingga dari bawah kukunya juga." (HR Muslim)
9. Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat akan berdoa untuk kamu selama kamu masih berada didalam masjid dan melakukan solat dan selama kamu tidak berhadas. Berkata Malaikat "Ya Allah, ampunilah dia dan turunkanlah rahmatMu kepadanya." (HR Bukhari)
10. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang solat Isyak berjemaah maka bagaikan bangun (beribadah) malam dan (pada esok paginya) ia mengerjakan solat Subuh secara berjemaah juga maka (pahalanya) bagaikan bangun semalaman (penuh)." (HR Muslim & Ahmad)
11. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu rasa ada angin di dalam perutmu kemudian kamu ragu adakah ianya telah keluar atau belum, maka janganlah keluar dari solatmu sehingga jelas terdengar bunyi atau tercium baunya." (HR Muslim)
12. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak takutkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (mengangkat kepalanya), kelak akan digantikan kepalanya dengan kepala keldai." (HR Muslim)
13. Rasullulah SAW bersabda: "Solat dengan bersiwak (mengosok gigi) lebih afdhal(baik) dari 70x solat tanpa siwak." (HR Zanjawaih & Hakim)
14. Rasullulah SAW bersabda: "Solat sunat atau fardhu dengan memakai serban menyamai 25x solat yang tidak memakai serban dan solat Jumaat dengan memakai serban menyamai 70x Jumaat tanpa memakai serban." (HR Ibn' Asakir)
15. Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas." (HR Bukhari & Muslim)
16. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila imam bangun dari rukuk serta membaca doa, maka hendaklah kamu membaca 'Allahuma Rabbana lakal hamdu' kerana sesiapa yang berkebetulan bacaannya dengan bacaan Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari & Muslim)
17. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk padahal ia masih ada wuduk, maka dicatat untuknya sepuluh hasanat." (HR Abu Daud)

Monday, 8 October 2012

Solat : Pengajaran Terbesar Daripada Peristiwa Isra' Dan Mikraj

TUJUAN KITA DICIPTAKAN
"dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Surah Adz-Dzariyat : 56)

AMALAN PERTAMA DIHISAB
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda :
"sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah soalatnya." (Riawayat Abu Daud dan Tirmizi)

MENYURUH ANAK SOLAT
Peristiwa isra' mikraj terjadi paha tahun ke-11 kerasulan Rasulullah. Hal ini bermakna, umat Islam dikuatkan iman mereka selama 10 tahun sebelum diuji dengan cerita isra' mikraj. Ertinya, anak-anak berumur 10 tahun ke atas akan lebih bersungguh untuk solat dan mantap ilmunya jika dilatih lebih awal.

Sabda Nabi, "Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan rotanlah mereka kerana tidak solat ketika berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tenpat tidur mereka" ( H.R Ahmad & Abu Daud )

PERINTAH SOLAT
" dan perintahkanlah ahli keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu diatas kesukaran-kesukaran yang kamu hadapi kerananya.." (Surah Toha : 132)

KELEBIHAN SOLAT
"Darpada Abu Umamah r.a, Nabi S.A.W bersabda : "Bertaqwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu : nescaya kamu memasuki syurga Tuhan kamu." (Riwayat at-Tarmizi)

SOLAT DAN SABAR
"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah : 153)

SOLAT MENCEGAH KEMUNGKARAN
"Dirikanlah sembahyang. Sesungghunya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar." (Surah al-Ankabut : 54)

KELEBIHAN BERWUDHU'
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda : 
"sesungguhnya umatku datang pada hari kiamat dalam keadaan bersinar-sinar daripada kesan wudhu'. Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan basuhan wudhu'nya, maka lakukanlah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

SIWAK (BERSIHKAN MULUT/GOSOK GIGI)
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi bersabda :
"sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan meriwayatkan perintah wudhu' pada setiap kali solat dan bersiwak pada setiap kali wudhu'." (Riwayat Ahmad)

KELEBIHAN DOA ANTARA AZAN DAN IQAMAT
Darpada Anas Bin Malik, Nabi S.A.W bersabda : 
"doa tidak ditolak di antara waktu azan dan iqamat." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

ISTIGHFAR DAN WIRID SELEPAS SOLAT
Darpada Thauban r.a beliau berkata : Apabila Rasulullah berpaling (memberi salam) daripada solatnya, baginda beristghfar sebanyak 3 kali dan berkata : Ya Allah Engkaulah yang maha sejahtera, daripada Engkaulah kesejahteraan yang maha berbahagia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan." (Riwayat Muslim)

"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (Riwayat Muslim)

KEMULIAAN DOA
Daripada Abu Hurairah r.a Nabi S.A.W bersabda : 
"tiada sesuatu yang mulia di sisi Allah melainkan berdoa." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Daripada Nu'man Bin Bashir r.a, Nabi S.A.W bersabda :
"Doa adalah ibadah." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

WAKTU MUSTAJAB BERDOA
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang :
"apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul & mustajab)?" Baginda bersabda : "waktu terakhir pada hujung malam dan selepas solat-solat fardhu," (Riwayat at-Tirmizi)

SOLAT YANG TIDAK DITERIMA
"Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hat\rtanya melainkan dengan perasaan benci," (Surah at-Taubah : 54)

LALAI DALAM SOLAT 
"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang sembahyang - (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyang," (Surah al-Mau'un : 4 & 5)

AZAB TIDAK SOLAT
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." (Surah at-Tahrim : 66)

BALASAN ORANG SOMBONG
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya, orang-orang yang sombong takbur daripada berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." (Surah al-Mu'mim : 60)

Sunday, 30 September 2012

KENAPA KITA DI UJI???

PENAWARNYA ADALAH AL-QURAN..SUBHANALLAH..




Allah kata dalam surah ankabut (ayat2-3)
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan,kami beriman, sedangkan mereka tidak di uji??dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka,...."

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAMKAN??

Allah kata dlm surah al-Baqarah (ayat 216)
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu..Allah mengetahui sedang kamu tdk mengetahui.."

KENAPA SUSAH SANGAT UJIAN NIE??

Allah kata dalam surah Al-Baqarah(ayat 286)
"Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya"

RASA TENSION ??LEMAH ?? FRUST??

Allah kata dalam surah Al-Imran (ayat 139)
"janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman"

APA YANG AKU DPT DARI SEMUA NIE...??

Allah kata dalam surah taubat(ayat 111)
"sesungguhnya Allah telah membeli dari org mukmin, diri, harta mereka dgn memberikan syurga kpd mereka"


ARGHH...AKU DAH BOSAN!!!AKU TAK TAHAN!!

Allah kata dalam surah Yusuf (ayat 12)
".....dan janganlah kamu berputus asa dr rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yang kafir"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...