Monday, 26 March 2012

Solat Itu Mencegah Kemungkaran


"Inna sola tatanha anil fahsya iwal munkar"

Maksudnya : Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
(Surah Al-Ankabut 29:45)

     Saya amat tertarik dengan firman Allah SWT seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu solat mencegah kemungkaran. Tetapi masih ada juga sahabat saya yang menyatakan bahawa mengapa seseorang yang telah menjaga solatnya sehari semalam tetapi masih tidak mampu untuk menghilangkan kemungkaran dalam dirinya, kehidupannya sama sahaja seperti orang yang tidak melakukan solat bahkan orang yang tidak solat itu lebih baik dari mereka yang solat. Persoalan yang berlegar-legar di fikiran saya ialah, adakah sempurna solat yang dilakukan itu? Adakah sempurna wudhuknya sebelum solat? Adakah Allah menerima solat yang dilakukannya?

     Solat sebenarnya bukan sahaja perlakuan yang hanya dilakukan dengan gerak badan, malah ia harus dilakukan dengan hati. Barulah kita dapat merasa yang Allah SWT itu dekat dengan kita bahkan terasa seperti sedang mendengar bacaan kita sewaktu solat.  Kemanisan solat itu hanya dapat dirasai apabila kita benar-benar khusyuk dan ikhlas melakukannya kerana Allah dan kita menyerahkan diri kita hanya kepada-Nya.

     Banyak perkara yang menyebabkan solat itu tidak mampu untuk mencegah kemungkaran dalam diri kita, jika kita tidak menyedari akan hal ini maka sia-sia sahajalah solat yang kita lakukan tanpa mendapat pahala dan apa-apa manfaat kepada diri kita. Antara penyebab utama adalah kerana kehidupan seharian kita di dunia ini terlalu banyak bergelumang dengan dosa tanpa kita sedari, dan perkara-perkara yang kita anggap remeh-temeh itulah yang sebenarnya menghalang diri kita daripada merasai kemanisan solat.

     'Aurat', adakah kita menjaga aurat dengan sempurna dalam kehidupan seharian kita tidak kiralah lelaki atau perempuan? Bagi kaum lelaki sudah menjadi kebiasaan bagi mereka berseluar pendek paras atas lutut dan hingga menampakkan pusat terutama kepada mereka yang tinggal di asrama. Perkara seperti ini dianggap biasa dan tidak menjadi halangan untuk mereka keluar masuk bilik sesuka hati tanpa menutup aurat mereka dengan sempurna.

     Bagi kaum perempuan pula, paling jelas sekali menampakkan aurat mereka kerana hanya muka dan tapak tangan sahaja yang tidak menjadi aurat mereka. Perempuan yang bertudung juga sebenarnya masih ramai yang tidak menutup aurat dengan sempurna kerana mereka hanya menganggap dengan menutup rambut sudah memadai untuk menutup aurat. Malahan ramai dalam kalangan mereka yang tidak memakai stokin, handsock, memakai tudung yang tidak mengikut syariat seperti menampakkan dada, memakai pakaian yang ketat dan banyak lagi. Perbuatan seperti ini layak dianalogikan sebagai 'membalut', bukan menutup aurat seperti yang dituntut syariat.

      Orang yang tidak menjaga aurat dengan sempurna, Allah SWT tidak akan menerima solat mereka, jadi berubahlah dengan menyedari akan hakikat ini. Allah masih sayangkan kita dengan memberi lagi kehidupan kepada kita hingga saat ini supaya kita mempunyai kesempatan masa untuk bertaubat kepada-Nya, manfaatkanlah masa yang ada ini untuk mengingati Allah sebelum malaikat Izrail datang menjemput. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian yang umur kita semakin pendek dan kita semakin menghampiri mati. Dengan masa yang masih ada persiapkanlah diri kita dengan amal ibadat supaya dapat menjadi bekalan kepada kita di akhirat nanti. Wallahu'alam....~

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...